Catatan Hati Nik Nur Madihah

بسم الله الرحمن الرحيم




Jika diberi peluang menjadi juri rancangan realiti TV Gadis Melayu, maka gadis bernama Nik Nur Madihah binti Nik Mohd Kamal pemenang yang paling layak tanpa melalui ujian-ujian yang diberikan. Bukan seperti gadis yang sudah terpilih, seurat benang tiada di rambut, bahkan melalak di kaca tv.

Mengapa Madihah? Kerana gadis melayu sejati adalah yang melalui kesusahan secara semulajadi, bukan pada peringkat-peringkat yang direka-reka juri, agar markah kemudian menjadi kunci untuk bolos ke peringkat akhir.

Semasa di MPH alamanda, cadangnya membeli buku pelajaran, tidak disangka buku ini yang ku beli. Asalnya sekadar membaca sinopsis di kulit belakang, tetapi hati tidak tahan menyelak isi di dalam. Susun kata dan gayabahasa oleh Ummu Hani Abu Hassan lagi berjaya menjentik hati. Akhirnya buku di beli tanpa berfikir panjang.

" Hari itu, ketika ustazah menyarankan kepada para pelajar agar membeli sebuah kamus Bahasa Arab, aku telah merancang caranya. Pada si teman yang murah hati, ku pinjam kamus tersebut untuk dibawa pulang ke rumah. ' Ummi, Kaklong tak payah beli kamus ni sebab Kaklong cadang nak salin saja di buku. Duit kita boleh simpan'. Ummi tersenyum lalu membantuku menyalin patah demi patah perkataan dari kamus ke buku latihan.Alhamdulillah" - Petikan dari Catatan Hati Nik Nur Madihah.

Nah, inilah balasan kesusahan Madihah dalam mencapai kejayaan dalam hidup. Pun begitu, 20 A mampu dicapainya. Sedangkan kita, membeli kamus merupakan perkara asas dalam menuntut ilmu tetapi Madihah perlu menyalin sebuah kamus demi menyimpan duit perbelanjaan untuk kegunaan yang lebih penting. Bahkan kita hari ini, kamus hanya dihujung jari, software di dalam laptop dan handphone masing-masing. Ketika beliau berkeputusan mengambil 20 subjek, ibu bapanya tidak diberitahu kerana tidak mahu mereka bimbang untuk membeli buku rujukan Madihah. Tetapi kita, tidak ada yang susah berkaitan kemudahan pengajian tetapi mengapa masih tidak cemerlang lagi. Malu sungguh pada diri sendiri.

Bezanya kita dengan Madihah ini adalah kemewahan hidup yang dikecapi. Aku sendiri mengakui, tidak pernah bersusah payah dalam kelengkapan untuk belajar.Walaupun ayah tidak kaya berair, tetapi sangat mampu. Minta apa saja, ayah berkejar membeli, risau anak tidak memberi tumpuan pada pelajaran, langsung terjejas konsentrasi. Malu lagi.

Madihah sangat hebat dalam kekuatan dalamannya. Maksiat besar dapat ditangkis apatah lagi dosa kecil dijauhi. Solat sunat dan qiamullail menjadi amalan setiap hari sehingga setiap kali ibunya tersedar malam, anak itu pasti sedang bersujud. Tak pernah menangis di hadapan manusia, meratapi kefakiran hidup, tetapi seperti anak kecil menangis ketika menjadi tetamu Ilahi. Malu buat kesekian kali.

Aku sesungguhnya, begitu jauh berbeza cara belajarnya dengan Madihah. Tiada rungutan dan sungutan. Jika ada sekalipun dipendamkan dan cepat-cepat mengubatnya. Banyaknya dosa itulah punca utama. Ketika beliau keluar dari dewan peperiksaan, seorang guru bertanya? " Madihah ok tak? Boleh jawab?". Beliau menjawab " Cikgu jangan risau. InsyaAllah dapat A". Begitu kuat keyakinan gadis ini sehingga boleh menzahirkannya begitu sekali.

Buat adik-adik yang bakal menghadapi peperiksaan PMR dan SPM di luar sana, jangan terlalu memanjakan diri. Jangan mengaku kalah sebelum benar-benar teruji. Usaha mampu mengubah kisah sejarah andai ada yang menyelar hati. Mengapa berpaut pada kenangan pahit sedangkan impian masih boleh digapai? Keyakinan seperti Madihah lah perlu ada dalam diri setiap diri remaja hari ini. InsyaAllah kejayaan itu akan menjadi sesuatu yang pasti.

Comments

Wida' said…
malu. malu. malu yg amat dgn diri sendiri..

p/s : Ulasan yg membekas di hati. syukran..

Popular posts from this blog

Bersalah

Tips Tepung Tart Nenas Tak Pecah Untuk Digulung

Hero Winter Sonata Mati Tergantung