Setakat Ini Sahaja

Azalea membasuh pinggan sambil memerhatikan rumput-rumput liar di luar tingkap. Seperti rumput jua, keadaannya tidak lagi seperti rumput itu ketika subur dahulu. Hati bukan lagi pada tempatnya. Rindukan suami yang sudah lama tidak menjengah rumah. Ke mana menghilangnya sedikit pun tidak dikhabarnya. Air mata mengalir tanpa dipinta, jatuh bersama aliran air paip yang deras mengalir membawa sabun ke lubang sinki. Fikirannya melayang jauh.

“Ibu..Ibu..”, panggil Aida lembut menyapa ibunya yang dari tadi tidak berganjak membasuh pinggan-pinggan yang lain.

“ Ibu!”, tinggi sedikit suara Aida memanggil ibunya yang tidak bereaksi. Azalea tersentak daripada lamunan. Pinggan di tangan terlepas lalu retak di dalam sinki. Aida menghampiri Azalea yang nampak resah.

“ Ibu teringatkan ayah ye?”, soal Aida tepat pada titik resahnya ibu muda itu. Azalea memandang anak gadisnya sayu, cuba lagi untuk menipu walaupun jelas keletihan merindu daripada anak mata yang tersorot itu.

“ Aida cepat susun pinggan yang ibu dah basuh ni.. Jangan bertanya yang bukan-bukan lagi..”, perintahnya segera untuk menutup perbualan seterusnya. Pinggan yang retak dikutipnya lalu dimasukkan ke dalam plastik kecil. Sesekali dia takkan menzahirkan kelemahannya pada anak-anak yang tidak mengerti apa-apa kecuali Aida yang semakin meningkat remaja.

“ Ibu tak basuh satu pinggan mangkuk pun, macamana Aida nak susun?”, soal Aida lembut. Azalea terperangkap lagi dalam bicaranya sendiri.Aiman mengetuk pintu bilik ibunya yang tertutup rapat. DIketuknya lagi apabila masih tiada jawapan seperti biasa. Aiman memberanikan diri untuk menjengah ke dalam bilik. Dia mendapatkan Azalea yang terbaring di katil. Mata yang tertutup rapat, jelas sekali Azalea demam dan keletihan. Aiman berlari menuju ke pintu bilik ibunya.

“ Kak, ibu demam!!”, jeritnya memanggil Aida yang berada di tingkat bawah. Aida berlari menaiki anak tangga mendapatkan ibunya. Tangannya menyentuh dahi Azalea, tubuhnya menggeletar.

“ Aiman tolong bagitau Makcik Salina mak demam. Minta tolong dia bawakkan ibu ke klinik. Kakak temankan ibu, Aiman jaga adik di rumah, kunci semua pintu..”, perintah Aida kemas sekali. Aiman segera ke rumah sebelah meminta pertolongan.

“ Terima kasih banyak-banyak kak Lina.. “, ujar Azalea perlahan.

“ Lea..akak nak tanya sesuatu..akak harap Lea tak ambil hati dan tak salah faham dengan akak..”.

“ Safwan dah lama tak balik rumah ye?”,soal Salina ingin tahu, sikit pun tidak berniat untuk menjaga tepi kain pasangan suami isteri ini. Azalea termenung sebentar, dia faham wanita itu tidak sedikit pun ingin menyibuk hal rumahtangganya tetapi hakikatnya kelibat Safwan memang sudah lama tidak nampak di rumahnya. Salina memandang Azalea yang tersandar di kerusi belakang kereta melalui cermin sisinya. Salina tidak lagi meneruskan kata-kata demi menjaga hati wanita yang sedang meretak itu.

Azalea masuk ke pejabat seperti biasa hari ini. Selepas menghantar Aida dan Aiman ke sekolah manakala Ammar ke nursery, Azalea tidak bersarapan seperti selalu di restoran bersebelahan bangunan syarikat kecil ini. Biarpun perut meminta-minta di isi, Azalea berterusan melakukan kerja dari pagi ke waktu tengahari. Sehinggalah tiba waktu rehat, Azalea masih setia dengan kerjanya sebagai seorang setiausaha Pengurus Syarikat Penerbitan NZR. Mastura melangkah masuk ke bilik Azalea.

“ Lea, kau tak sarapan pun pagi tadi kan? Makan tengahari pun tak nak jugak ke? Jangan seksa diri Lea.. Apa pun yang berlaku kau tetap kena jaga diri baik-baik..”, nasihat Mastura kepada teman baiknya. Mastura maklum dengan masalah rumahtangga yang melanda temannya itu. Dia melabuhkan punggungnya di hadapan meja Azalea. Kelopak mata Azalea bergenang, tersentuh kerana masih ada yang mengambil berat tentang dirinya. Azalea memandang tepat anak mata Mastura.

“ Mas..Kau fahamkan perasaan aku Mas? Dah 2 bulan suami aku tak balik, aku call dia tak angkat apatah lagi dia nak call semula? Rumah pun dah tak jejak sampai sekarang. Aku tak tahu mana salahnya aku sampai dia buat aku macam ni Mas.. Mas, tolong aku, aku betul-betul dah tak tahan dengan apa yang berlaku..Aku lemah Mas..”, ucap Azalea dalam nada yang begitu sebak. Air mata yang mencurah-curah di sekanya berkali-kali. MAstura menghulurkan tisu yang berada di atas meja.

“ Aku faham Lea.. Aku faham sangat.. Suami, kalau bukan dia siapa lagi…”.

“ Fahmi tak buat pun kau macam ni kan? Kenapa Safwan buat aku macam ni Mas? Dia betul-betul dah menghilangkan diri.. Aku tak tau nak cakap macam lagi betapa aku terkilan dia tinggalkan isteri dia macam ni je.. Aku rindukan dia Mas…Aku perlukan dia..Anak-anak aku perlukan dia”, pintas Azalea. Kali ini bersama raungan kecil yang tertahan selama beberapa minggu ini. Mastura menghampiri Azalea yang kelihatan begitu letih berhadapan dengan situasi yang paling ditakuti oleh kaum hawa.

“ Sabar Lea..Aku akan sentiasa tolong kau Mas..Aku ada di sisi kau..Kalau Safwan buat kau macam ni, sampai bila-bila aku tetap sayangkan kau.. Kita akan selesaikan masalah ni secara baik.. Aku janji akan buat yang terbaik untuk kau..”, ujar Mastura sambil mengusap bahu Azalea. Azalea tahu dia tidak bersendirian. Mastura setia di sisi bahkan Allah setia memerhati.

Habis sahaja waktu pejabat, Azalea bergegas ke pasaraya berdekatan sebelum mengambil Ammar di nursery. Barang-barang keperluan di rumah semakin berkurangan. Kaki melangkah masuk tanpa menghiraukan keadaan sekeliling yang hiruk pikuk. Selesai urusan membeli, Azalea kembali ke kereta. Dari jauh, Azalea memerhatikan seorang lelaki yang begitu dikenalinya. Azalea berlari mendapatkan lelaki itu yang baru saja mendapatkan kereta.

“ Abang!!”, laungnya gembira. Hati benar-benar bebas dari curiga. Tiba-tiba seorang wanita menghampiri lelaki itu. Terlepas barang-barang di tangan Azalea kerana wanita itu adalah kekasih lama Safwan. Azalea menghampiri Safwan lalu dicapainya tangan lelaki itu. Dikucupnya. Safwan tidak memberikan reaksi seperti orang yang bersalah.

“ Lea harap sangat-sangat abang balik rumah malam ni. Malam ni je.. Anak-anak rindukan abang”, digunakan anak-anak sedangkan dialah yang merindui lelaki itu. Azalea sempat menghadiahkan senyuman buat dua insan di hadapannya sebelum berlalu pergi bersama air mata yang berjujuran. Hatinya benar-benar bengkak.

Pintu rumah diketuk perlahan. Azalea sudah dapat mengagak siapa yang datang.

“ Aida pergi buka pintu..”, ujarnya sambil menyelak-nyelak majalah dengan harapan dapat menyelindung perasaan yang tak tertahan. Kelihatan Safwan yang tenang itu tersenyum ke arahnya. Azalea tersenyum tawar. Aida mendakap ayahnya yang dirindui itu. Azalea tidak menghiraukan perbualan dua beranak itu yang begitu ceria. Selepas 5 minit berdiam diri, Azalea segera ke bilik tidurnya di tingkat atas.

Safwan menjengah di pintu bilik. Tangannya menolak perlahan daun pintu. Azalea termenung di sisi katil, seperti tidak tahu apa yang patut dilakukan. Wajah wanita petang tadi tiba-tiba terbayang di mata. Hati menjadi panas lantas air mata bertakung di empangan mata. Safwan menghampiri Azalea yang masih berdiam diri.

“ Saya minta maaf..dah 2 bulan lebih tak balik rumah.. sibuk dengan kerja di pejabat..”, ujar Safwan bersahaja. Azalea menahan getaran di dada. Ada rindu dalam diamnya. Azalea memandang wajah Safwan dalam-dalam.

“ Apa hubungan abang dengan Marina? Cinta lama bersemi semula?”, soal Azalea. Safwan menarik nafas perlahan.

“ Lea dengar sini..Malam ni abang akan jujur dengan segalanya. Hati dan perasaan manusia tak boleh dipaksa.. Abang mencintai Lea dahulu bukan kerana dipaksa, dan sekarang cinta abang pada Lea semakin pudar,malah layu, juga bukan dipaksa.. Abang tak pernah minta untuk mencintai Lea, segalanya berlaku tanpa abang sedar dan sekarang perasaan abang terhadap Lea,..perasaan abang terhadap Lea sudah digantikan oleh insan lain..”, ujar Safwan jujur tanpa memikirkan perasaan isterinya itu.Azalea mendengarnya dari awal hingga akhir. Air mata laju menuruni curam pipi. Tangannya meraup wajah yang semakin hari semakin hilang cerianya.

“ Abang…SAmpai hati abang cakap macam tu? MAna janji abang dulu? Janji abang untuk terus mencintai Lea sampai bila-bila? Abang tau tak cinta Lea pada abang dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah malah semakin kuat kerana abang adalah suami Lea. Tempat Lea berlindung selama ni. Mudahnya abang cakap kat Lea macam tu? Sedangkan Lea sayangkan abang separuh mati..Abang nyawa kedua Lea..Sampai hati abang..”, Azalea memandang tepat wajah suaminya. Saat ini ketenangannya bergolak kencang. Ditiup ribut yang tak pernah diinginkannya,jauh sekali dipinta.

“ Lea, tolonglah faham..Bukan abang nak semua perkara ni terjadi..Semuanya di luar jangkaan kita..”.

“ Ye,memang di luar jangkaan kita tapi abang yang membuka peluang untuk orang lain hadir di antara kita..Kalau abang tak beri titi,takkan ada yang sampai ke seberang! Abang..Pandang muka Lea bang..Abang dah lupa kan Lea yang dah bertahun-tahun hidup dengan abang selama ini.. Abang pilih kekasih lama abang yang dah terputus hubungan sekian lama..akhirnya abang pilih dia? Mana Lea di hati abang selama ni..”, teresak-esak Lea sambil memukul perlahan dada suaminya.

“ Tak cukup lagi ke pengorbanan Lea selama ni terhadap abang…”.

“ Ungkit! Ungkit! “, Safwan mula meninggikan suara. Azalea memandang wajah lelaki itu dengan hati yang sarat penuh kelukaan.

Bersambung….( tertakluk kepada kerajinan)

Comments

Popular posts from this blog

Bersalah

Tips Tepung Tart Nenas Tak Pecah Untuk Digulung

Hero Winter Sonata Mati Tergantung