Dosa Pertama

بسم الله الرحمن الرحيم

Kita susuri sejarah lama, apakah kesalahan pertama yang dilakukan oleh keturunan manusia di dunia? Adakah mencuri? Adakah membunuh? Tentu sekali tidak. Dosa pertama yang dilakukan oleh umat manusia adalah kerana makanan. Ketika Adam dan Hawa senang enak bercinta di syurga dalam rahmat Pencipta, syaitan mula menyesatkan manusia dengan memujuk si Hawa yang taat kepada Penciptanya sehingga kedua mereka dihantar keluar dari syurga. Buah khuldi yang ditegah Tuhan, tetap dijamah oleh makhlukNya. Jika diselusuri kisah ini, makananlah yang menjadikan manusia mengingkari Tuhan. Begitulah besarnya kedudukan makanan sehingga menjadi sejarah pertama dosa manusia.

Maka, dengan ini makanan adalah perkara pertama yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan kerana bimbang sejarah akan berulang kembali sehingga mendatangkan kemurkaan Yang Esa. Bagaimana pula makanan boleh mengundang kemarahan Dia? Apabila makanan yang kita makan diambil daripada sumber yang syubhah (ragu-ragu samada halal atau haram), jadi bagaimana Allah ingin menerima doa seseorang yang datang padaNya dengan penuh kejijikan dalam tubuh dan pastinya ada hijab antara hamba dan pencipta sehingga menyebabkan doa kita terhalang untuk sampai kepadaNya. Dan apabila doa kita tidak dimakbulkan pastinya hidayah akan tergantung untuk diberikan kepada kita dan apabila hidayah tidak sampai kepada kita mulalah perangai dan akhlak buruk ditonjolkan. Sejak itu, saya perasan doa yang dipanjatkan selama ini terbiar sepi dek kejahilan diri sendiri. Alhamdulillah sekarang sudah saya temui puncanya.

Rasulullah SAW bersabda 'Ingatlah,di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging. Jika segumpal daging itu baik, maka akan baiklah seluruh tubuhnya tetapi, bila rosak, nescaya akan rosak pula seluruh tubuhnya. Segumpal daging itu bernama qolbu (hati)!"

(HR. Bukhari dan Muslim).

"Wahai Saad, perelokkan makanan kamu nescaya kamu akan dimustajabkan doa. Demi Tuhan yang diri Muhammad ada di dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya apabila seseorang itu menyuapkan sesua pmakanan haram ke dalam mulutnya, nescaya tidak akan diterima doanya selama 40 hari. Mana-mana hamba yang tumbuh daging dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka yang lebih utama baginya"

Riwayat Al-Hafidz Ibnu Mardawaih dari 'Atho dari Ibnu 'Abbas r.a.

Hampir seminggu lebih saya cuba meninggalkan makanan yang selama ini adalah syubhah, terasa ada perubahannya. Jika dulu, hati seperti ada yang tidak tenang dan kekurangan, tapi kini tiada lagi. Jelas sekali kekurangan itu adalah dari segi penjagaan makanan. Ada juga yang masih sukar dielakkan seperti kadang-kadang terponteng kelas, terlewat solat tetapi semuanya adalah disebabkan tertidur. Boleh dimaafkan tak agaknya? Masakan tidak, semua makanan yang selama ini adalah syubhah menjadi darah daging saya. Kalau dulu orang sekeliling cakap itu ada lemak babi, ini ada gelatin, yang itu macam ni, yang ini macam tu, tapi saya tak yakin dengan cakap-cakap orang kerana saya tidak lihat dan dengar dengan kepala dan telinga saya sendiri. Tapi segala mentaliti saya berubah 100% selepas saya menghadiri kursus Perkongsian Bijak Cemerlang anjuran HPA di Hotel Allson Klana,Nilai yang mendedahkan hakikat sebenar nilai makanan diluar sana. Malah saya menyebarkannya kepada ahli keluarga saya dan sahabat-sahabat saya dan ia mengundang penerimaan positif. Terima kasih kepada Encik Azmely, Ustaz Abdul Razak, Puan Habibah dan ahli komiti Nilai terlibat kerana memberikan nafas baru di dalam hidup saya. (Sekarang dah rasa ada masa depan baru sebab belajar undang-undang selalu rasa gelap je masa depan- dipetik daripada kata-kata Syuhada M.Zulkifli,kalau lepas ni rasa gelap lagi, tak tau nak cakap apa dah).

Makanan itu menjadi DARAH dan DAGING yang kita usung setiap hari.Tidak hairanlah apabila kita mudah terpedaya dalam hasutan syaitan dan musuh islam. Lalai dan malas dalam mengerjakan perintah Allah s.w.t seterusnya tidak terdaya mencegah amar mak'aruf nahi mungkar (saya lah antara golongan ini). Apakan tidak, apabila darah yang mengalir dan daging yang membesar kita sirami dengan makanan yang tidak diberkati seterusnya 'HARAM' untuk dimakan.

"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, namun di antara keduanya ada perkara-perkara syubhah (yakni samar-samar antara halal dan haram), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia (samada halal atau haram). Sesiapa yang menjaga dirinya dari segala yang syubhah, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, kemungkinan ia terjatuh ke dalam benda haram…"

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abi Abdillah an-Nu'man bin Basyir r.a.

Antara akibat tidak mengambil berat halal dan haram :

1. Kurang mendapat petunjuk Allah

2. Terhijab diri daripada mengenali kebenaran

3. Hati menjadi rosak dan keras

4. Doa tidak dimakbul Allah

5. Tidak mendapat keberkatan pada rezeki dan umur

6. Terhalang daripada mendapat ilmu

7. Fikiran resah dan tidak tenteram

Saya yakin pasti ada salah satu dalam diri kita antara yang tersenarai di atas ini. Semuanya adalah berpunca daripada makanan. Lihatlah hari ini, terlalu banyak jenis makanan yang dicipta oleh sebab itulah banyak juga jenis penyakit yang datang di Malaysia. Bila difikirkan kembali, mengapa umat sekarang terlalu berlebih-lebih dalam hal makanan sehingga berlaku pembaziran sedangkan zaman Rasulullah dahulu dan zaman nenek moyang kita tidak pun berlaku seperti ini? Cubalah kekalkan cara pemakanan orang-orang terdahulu kerana cara pemakanan yang sebegitulah terkandungnya hikmah. Hikmah yang akan membawa kita bertemu dengan Allah. Oleh itu, marilah kita bersama-sama renungi agar tidak mengulangi dosa pertama umat manusia. Kerana dosa inilah yang bakal membuka pintu-pintu dosa yang lebih besar. Wallahua'lam.

يا بني ءادم خذوا زينتكم عند كل مسجد وكلوا واشربوا ولا تسرفوا إنه لا تحب المسرفين

Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (Al-A'raf:31)

Comments

Popular posts from this blog

Bersalah

Tips Tepung Tart Nenas Tak Pecah Untuk Digulung

Hero Winter Sonata Mati Tergantung