Kehidupan Adalah rahsia Terbuka- Rahsia Pertama- Sayangi Ibumu

بسم الله الرحمن الرحيم

Di kesempatan ini ingin sekali saya berkongsi dengan kalian hasil pembacaan buku motivasi saya yang baru dibeli baru-baru ini. Ibu, pasti kalian mengenali ibu? Bukan ibu ayam atau ibu jari kaki, tetapi ibu adalah insan yang bertarung melahirkan kita ke dunia sehingga ada ibu yang menghadap Ilahi tanpa sempat melihat anak yang dilahirkan dengan penuh kesakitan. Berbicara mengenai ibu, hati saya kerap kali tersentuh, mungkin kerana saya penuh dengan sifat keibuan (ceh, perasan),tersentuh kerana mengenangkan dosa yang terlalu banyak saya hamburkan kepada insan yang sepatutnya saya hormati ini lebih daripada segala-galanya kerana sedarkah kalian atau tidak, tempat yang begitu istimewa, tempat yang dijanjikan Allah kepada para hambaNya dengan kenikmatan yang tiada di dunia, kunci untuk memasuki pintu Syurga adalah di bawah telapak kaki ibu. Tapi mengapa kita, sehingga ke hari ini masih meninggikan suara kepada mereka, membentak-bentak terhadap mereka, mengata-ngata di dalam hati, mengapa ibu bersikap begini? Astagfirullah, betapa kejamnya anak yang dilahirkan ibu ini.

Dari Abu Hurairah R.A ‘ Seorang lelaki datang kepada Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassalam dan berkata, Wahai Rasulullah, siapakah di antara seluruh manusia layak saya hormati dan menjadi sahabatku? Baginda menjawab ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya ‘ Kemudian siapa?’ Baginda berkata ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi ‘ Kemudian?’. Baginda menjawab ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya ‘ Kemudian?’. Baginda menjawab ‘Bapamu. –Riwayat Bukhari dan Muslim-.

Hadith ini membawa satu pengajaran bahawa ibu adalah insan yang selayaknya kita hormati dan menjadi sahabat jika dibandingkan dengan seluruh isi dunia ini. Ketika kita bercakap dengan kawan di talian tetapi ibu kita memanggil, apakah yang sepatutnya kita lakukan? Ketika kita membaca dan ibu kita memanggil, kita akan menjawab ‘sekejap lagi mak’ atau adakah kita akan terus menutup buku lalu mendapatkan ibu? Ketika kita tidur dan kemudian terdengar suara ibu memanggil , adakah kita pergi mendapatkan ibu dan bertanyakan apa yang dia mahu atau terus berpura-pura tidur? Jawapan yang terbaik ada di dalam hadith ini.

Pasti kalian pernah mendengar lagu Yusuf Islam bertajuk My Mother. Lagu ini bertanya ‘ Siapakah yang pertama mendukung kita, membersihkan kita,memandikan kita dan memegang erat kita ketika kita sakit? Siapakah yang mendengarkan kita ketika kita masih belum boleh bercakap? Siapakah yang mendakap kita ketika kita masih belum pandai berjalan dan mengangkat kita ketika kita terjatuh lalu membersihkan luka kita? (sedih sangat ni). Sudah tentulah ibu kita..



Di dalam dunia ini, siapakah lelaki atau perempuan yang bukan kepada anak seseorang? Pastinya kita adalah anak kepada insan yang bergelar ibu. Insan inilah yang bertarung nyawa di bilik pembedahan selama berjam-jam, malamnya yang penuh penderitaan hanya kerana demi melihat kita hidup di muka ini, berlari-lari di muka dunia ini dan ingin melihat kita gembira.
Tiada lelaki yang mampu menggalas amanah besar yang dipertanggungjawab ini melainkan hanyalah kepada seorang insan yang bernama ibu.

Sebuah kisah di dalam ‘Love Is The Wine’ nukilan Sheikh Muzaffer Ozak- Suatu Hari Ibrahim Ibn Adam cuba untuk memasuki tempat pemandian awam. Penjaga pintu itu tidak membenarkan Ibrahim Ibn Adam untuk memasukinya tanpa bayaran. Ibrahim Ibn Adam mengaku bahawa beliau sememangnya tiada wang untuk memasukinya.

Penjaga itu menjawab ‘ Kalau kamu tiada wang, kamu tidak boleh memasuki tempat pemandian awam ini’. Ibrahim Ibn Adam lalu menangis semahunya sehingga beliau terduduk di atas tanah,teresak-esak. Seorang pejalan kaki berhenti untuk memujuk Ibrahim Ibn Adam.

Ibrahim Ibn Adam berkata ‘ Saya menangis bukanlah kerana tidak dapat masuk ke tempat pemandian. Ketika penjaga itu meminta wang kepada saya untuk memasuki tempat itu, saya teringatkan sesuatu sehingga menyebabkan saya menangis. Saya tidak dibenarkan masuk ke tempat pemandian kecuali dengan bayaran, bayaran apakah yang akan saya kenakan ketika saya ingin memasuki Syurga? Apakah akan terjadi jika saya dipersoalkan, apakah amalan kebaikan kamu sehingga kamu dibenarkan untuk memasuki syurga? Jika di dunia kita sering diminta membayar untuk memasuki suatu tempat, apatah lagi Syurga akan meminta bayaran kebaikan kita dunia. Kerana itulah saya menangis’.

Tiket memasuki Syurga adalah kepatuhan dan hormat kita kepada ibu. Hanya seorang insan yang padanya mempunyai tiket untuk kita memasuki Syurga. Siapa dia? Ibu. Mahukah kita tiket memasuki syurga sahabatku? Sementara waktu masih berjalan, hormatilah, berbuat baiklah, berkata dengan penuh lemah lembut kepada pemegang tiket Syurga kita ini. Jika kalian masih mempunyai pemegang tiket Syurga akhirat ini, pergilah kepada beliau sekarang..Sekarang. Ciumlah tangan mereka dan buatlah mereka gembira. Belailah wajahnya dan katakan kalian sayang padanya. Pergilah dan tunaikanlah tanggungjawab terhadap mereka dan maka kamu akan memperoleh pelepasan untuk memasuki sebuah tempat yang kekal selama-lamanya kebahagiaannya. Syurga..

Pergilah..

p/s: malu nak cakap sayang pada umi..jgnlah jd macam aku ni.. =’(

Comments

Popular posts from this blog

Bersalah

Tips Tepung Tart Nenas Tak Pecah Untuk Digulung

Hero Winter Sonata Mati Tergantung