Kem Harapan Sapura

بسم الله الرحمن الرحيم

Letih. Gembira. Puas. Begitulah perasaan saya sepanjang 3 hari 2 malam bersama adik-adik yang menduduki peperiksaan UPSR,PMR dan SPM. Biarpun batuk, sakit tekak dan selesema menjadi-jadi tetapi tidak menjadi halangan untuk bersama adik-adik yang baru dikenali.

Menjadi fasilitator Kem Harapan Sapura anjuran Kumpulan Sapura Holding bukanlah mudah. Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia Universiti Sains Islam Malaysia telah diberi kepercayaan bagi menjayakan Kem Harapan yang kedua kalinya. Melayan karenah pelajar-pelajar yang agak kurang pendedahannya terhadap masyarakat membuatkan mereka agak mengalami kejutan budaya apabila disuruh berbicara sepatah dua kata ketika Latihan Dalam Kumpulan. Ada yang wajah menterjemahkan rasa bosan, ada yang dicabar baru boleh bercakap, ada yang begitu dan ada yang begini itulah yang memberi sedikit lelah kepada kami.



sedang hangat berbincang

menunggu ketibaan adik-adik

Hari pertama berjalan seperti biasa. Cuma terdapat sedikit kesulitan ketika sesi tazkirah sementara menunggu waktu Isyak kerana penyampai tazkirahnya adalah saya. Sebenarnya niat saya sebenarnya nak main-main…tak sangka la plak boleh jadi sampai betul-betul macamni!!?? (nada anas tahir di dalam video klipnya). Ada ke patut saya yang menyampaikan tazkirah? Saadah lah ni yang memaksa sehingga saya tersassul menerima undangannya. Mungkin beliau terlalu kemaruk untuk melihat saya bercakap di khalayak ramai memandangkan saya ini terlalu pendiam orangnya, tidak seperti sahabat-sahabat saya yang lain yang begitu bising mulut mereka bagaikan gagak tercabut paruhnya. Alhamdulillah, berbekalkan sedikit ilmu dan pengalaman hidup yang tidak seberapa ini saya selamat menyampaikan tazkirah yang bertajuk Tanggungjawab terhadap Ibubapa di hadapan kanak-kanak hingusan tersebut seramai lebih 350 orang (mudah je tajuk ni sebenarnya). Saya sendiri tidak menyangka saya berani sebegini dan daripada mana kekuatan yang saya serap pun saya tidak tahu, mungkin daripada bekalan kuasa elektrik kafe nilam. Mujur juga Hanisah yang dipaksa duduk di sebelah menjadi ayam tambatan saya ketika idea tidak dapat dijana. Ah, inilah pengalaman yang tak akan sesekali saya lupakan memandangkan selama ini saya hanya bersyarah di depan teman-teman tutorial sahaja tetapi kali ini sebaliknya.


khusyuk mendengar

Hari kedua yang ditunggu-tunggu tiba kerana Datin Seri Paduka Rosmah binti Mansor iaitu isteri Perdana Menteri Malaysia yang ke 5 mencemar duli beliau hadir ke Universiti Sains Islam Malaysia bagi merasmikan Kem Harapan Sapura ini. Seawal pagi, para urusetia dan fasilitator sudah memulakan tugas dengan membawa adik-adik berangkat menaiki bas ke kampus utama universiti. Ketibaan Datin Seri ditunggu penuh ceria sekali. Terdapat sedikit huru-hara kerana perasaan yang begitu sukar ditafsirkan membuak-buak di dada masing- masing yang menunggu ketibaan beliau. Sahabat-sahabat saya terutamanya jelas sekali tidak dapat menahan sabar untuk bertemu beliau apatah lagi saya yang ingin merasa tapak tangan lembut Datin Seri sebagai isteri Perdana Menteri. Harapan saya yang begitu teruja ini berakhir dengan penuh dukacita kerana Datin Seri hanya bersalaman dengan orang tertentu sahaja dan beberapa orang adik-adik peserta Kem Harapan Sapura. Seorang sahabat saya mengalirkan air mata kehampaan. Selepas program perasmian acara diteruskan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Saidah, Pensyarah bla..bla..bla..(tak tau fakulti mana). Diharapkan penyampaian yang berguna ini dapat membentuk serba sedikit daya usaha adik-adik yang telah bersusah payah datang ke kem ini. Terdapat sedikit kejutan selesai saja ceramah motivasi tersebut apabila salah seorang ahli kumpulan saya kehilangan handphonenya. Adik yang berbangsa cina tersebut masih boleh bertenang lagi walaupun handphonenya lesap entah ke mana. Saya sangkakan pasti ada pelajar lain yang mensabotaj beliau kerana terlalu banyak memegang jawatan dalam program ini (hanya sangkaan saya saja,janganlah terlalu percaya). Sehinggalah ke hari akhir, handphonenya yang menghilang begitu saja tiada sedikit pun menampakkan batang hidung. Takziah buat adik Sim Geok Siang (yang ketika sesi ice breaking memperkenalkan dirinya sebagai Sim Kad Siang Malam) yang pasti akan dimarahi oleh ayahnya kerana terdapat nombor pelanggan bisnesnya- kata beliau.

barisan urusetia dan fasilitator yang berkakilebar sedang menunggu ketibaan Datin Seri

datin rosmah yang kelihatan anggun bergaya

peserta bersemangat menyanyikan lagu warisan nyanyian Sudirman

Di sebelah malam harinya pula, aktiviti diteruskan dengan LDK berikutnya yang banyak bercerita mengenai kehidupan. Mujur ada Kak Jannah yang bijak bermain kata tetapi masih ada adik-adik saya yang bermuka bosan. Saya hanya menokok tambah bila perlu saja.

adik-adik kumpulan saya

Biasanya beginilah, sepanjang hidup saya yang sudah banyak juga lah menyertai perkhemahan, malam yang terakhir barulah bercambah kasih sayang antara setiap ahli kumpulan. Perasaan sayang mula menggantikan perasaan curiga sebelum ini, terfikir sudah perpisahan hari esoknya. Tapi tidak mengapalah, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Hanya foto-foto kenangan yang sempat dirakam menjadi memori yang bakal dsisimpan dalam ingatan.

Qiamullail yang diadakan tidak dapat saya turut serta memandangkan keadaan diri yang semakin tidak sihat dengan hidung yang tersumbat dan tekak yang semakin perit memaksa diri untuk terus tidur mendapatkan rehat yang secukupnya (alasan ini kukuh, terpulanglah untuk mempercayainya atau tidak). Pukul 6 pagi saya tiba di tempat solat dan sempat berjemaah bersama adik-adik. Suara Abang Shahril yang mengimami solat cukup membuatkan nurani saya tersentuh. Begitulah hati manusia hakikatnya, sangat mudah disentuh dengan alunan ayat suci al-quran, kerana hati diciptakan Allah begitu sesuai dengan kalam suciNya.

Selepas bersenam pagi dan bersarapan, acara terakhir yang dihidangkan ada Explorace. Adik-adik nampaknya begitu bersemangat untuk memulakan episod pencarian mereka dari check point ke check point seterusnya. Saya dan sahabat saya Hanisah berjaga di check point 4 di dalam surau dan diamanahkan untuk meng'conduct' permainan regu. Pelbagai gaya dan gelagat dipersembahkan oleh adik-adik peserta berkaitan peribahasa melayu. Hanya 10 kumpulan saja yang melalui check point saya, 20 kumpulan lagi tidak sempat ketemu apabila masa sudah diisytiharkan tamat. Saya dan Hanisah yang tidak diberitahu masa telah pun habis menunggu sehingga tertidur di surau. Sungguh enak sekali tidur di bawah pusingan kipas yang laju. Alhamdulillah, tiada gangguan sepanjang kami terlelap sehinggalah Hanisah menelefon fasilitator sepatutnya dan diberitahu masa sudah lama ditamatkan (huhu, sodeh den).



hasil didikan fasilitator

Pukul 2 petang diteruskan dengan acara perasmian penutupan Kem Sapura. Kelihatan adik-adik peserta tersangatlah letih sehingga mereka tidak dapat fokus lagi pada ucapan-ucapan yang diberikan. Buat adik Sim Kad, tahniah diucapkan kerana berjaya menghabiskan teks ucapan yang saya sediakan. Bingkisan daripada Encik Wan Nazri bin Wan Hassan selaku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Harapan sangat membuatkan saya tersentuh kerana keikhlasan beliau untuk membantu anak-anak yatim dan daripada keluarga yang susah. Memetik kata beliau ' kehidupan ini juga explorace'. Kalian pasti fahamkan? Terkadang cuma pencarian hidup ini adakalanya seperti tidak jelas di mana akhirnya. Bila mana tidak jelas akhirnya pastikanlah sepanjang perjalanan yang kita lalui dalam pencarian ini masih di landasan yang lurus agar matlamat akhir kita tercapai dan jelas. InsyaAllah. Semoga keikhlasan yang tidak dapat dilihat ini akan dibalas dengan saham akhirat yang dijanjikan Allah atas kebaikan kita di dunia akhirat. Sudilah kiranya Kem Harapan seterusnya diadakan di USIM lagi (sonangnya cakap, yang susahnya Syu..haha). Mohon maaf atas salah dan silap daripada mereka yang mengenali diri ini sepanjang keterlibatan saya yang penuh kekurangan dalam program ini. Saya hanyalah selemah-lemah manusia. Wallahua'lam.

memori bersama

syu kata gambar ni cantik. tak taulah betul ke tak.dari kiri- nasuha, saadah, hanani


p/s: Kepada yang nak gambar-gambar Kem Harapan Sapura, bolehlah download di cherished-moment.blogspot.com. Gambar terlalu banyak,tak sempat lagi nak letak semua. Selalulah melawat ye..Harap maklum..=')

Comments

Popular posts from this blog

Bersalah

Tips Tepung Tart Nenas Tak Pecah Untuk Digulung

Hero Winter Sonata Mati Tergantung