Anak Yatim

Letihnya hari ini melayan anak-anak saudara yang kuat menjerit dan bergaduh. Tengahari pula aku ke kajang, adik aku ingin melupuskan pakaian-pakaian yang sudah tak dipakainya. Kami menghala ke Batu 13, Cheras di mana terletaknya sekolah 'kesayangan'ku. Rumah Nur Hikmah terletak di sebelah kanan jalan. Adikku memberhentikan kereta di sebelah kiri lalu melintas ke seberang jalan mendekati rumah Nur Hikmah.

Dari dalam kereta, aku melihat anak-anak yatim itu berlari-lari, bermain kejar-kejar sesama sendiri, sedangkan aku jika waktu itu pasti bersama umi dan ayah di dalam rumah, menikmati kenikmatan indahnya kehidupan berkeluarga. Anak-anak itu juga ada keluarga, tetapi keluarga yang tidak lengkap, tanpa kasih sayang ibu dan ayah.

Teringat aku ketika aku di tingkatan 5, aku dan teman-teman yang lain berjalan kaki ke rumah anak-anak yatim ini. Tidak sampai satu kilometer kami sudah sampai. Kami ditugaskan untuk bergotong-royong membersihkan rumah ini. Aku mendekati seorang budak kecil lelaki yang nampaknya muram. Bertanyakan perihal ibu ayahnya, ayahnya berada di penjara, menjalani hukuman kerana mengedar dadah. Ibunya yang menghantar beliau ke situ kerana tidak mampu menyara anak-anak yang ramai.

Adikku mengambil baju-baju yang tak digunakan lagi dari dalam kereta untuk memberikan kepada pengasuh di rumah Nur Hikmah. Baju itu bukanlah hadiah yang terbaik yang mampu kami sediakan, daripada membuangnya, daripada membazir, lebih baik dihadiahkan kepada anak-anak itu. Jika tak mampu memberikan bantuan kewangan kepada mereka, cukuplah sekadar bantuan keperluan dan kelengkapan sehari-harian. Mereka tidaklah rakus mengejar harta dunia seperti manusia-manusia di luar sana.

Dan aku seringkali berdoa, janganlah ambil nyawa umi dan ayah sebelum sempat aku membalas jasa mereka. Membalas segala-galanya untuk umi dan ayah setelah aku aku pernah menghancurnya suatu ketika dulu, mungkin juga sekarang. Selamat Hari Ibu umi, Selamat Hari lahir ayah..

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).”

Comments

Popular posts from this blog

Bersalah

Tips Tepung Tart Nenas Tak Pecah Untuk Digulung

Hero Winter Sonata Mati Tergantung