Wednesday, June 2, 2010

Yaumun Nuqbah : Hari Malapetaka Umat Islam





1. Mengapa isu Palestin ini dekat di hati kita?
2. Sejarah penubuhan negara haram Israel.
3. Pengajaran ’aamun Nuqbah
4. Tanggungjawab kita terhadap Palestin



Mengapa isu Palestin dekat di hati kita?

1. Al-Aqsa merupakan kiblat pertama ummat Islam. Tempat isra’ dan mikraj Rasulullah SAW. Masjidil Aqsa merupakan tempat di mana Rasulullah SAW mendirikan solat menjadi imam bermakmumkan seluruh Rasul-Rasul sebelum baginda SAW. Al-Aqsa juga disebut dalam Al-Quran menunjukkan pentingnya kiblat pertama ummat Islam itu dipertahankan. ”Al-Aqsa adalah sebahagian dari kita, dan kita adalah sebahagian daripada Al-Aqsa.”

2. Menurut penganalisis politik, Isu Palestin merupakan ’Mothers of Conflict’ dalam dunia ketika ini. Lihatlah apa yang berlaku di dunia ketika ini. Dunia dilanda ketakutan dan kebencian yang teramat sangat kepada Israel dan Amerika sehingga ada yang meletupkan diri di mana sahaja, di New York, di Bali dan di pelbagai tempat selain Palestin, Iraq dan Afghanistan. Kita sebenarnya tidak bersetuju dengan tindakan mereka yang meletupkan diri dan menyerang mereka yang tidak bersalah, rakyat biasa di negara tersebut kerana ada dari mereka juga tidak setuju dengan tindakan kejam Zionis Israel di Palestin, Iraq dan Afghanistan. Namun, ini menunjukkan bahawa dunia sekarang tidak akan aman selagi Israel dan Amerika tidak menghentikan kekejaman dan kebongkakakan mereka terhadap dunia Islam khususnya Palestin. Meletupkan diri di zon perang adalah dianggap syahid oleh ulama’, iaitu di Palestin, Iraq dan Afghanistan, namun tidak dibenarkan menyerang di tempat lain selain itu.

Sejarah Penubuhan Negara Haram Israel

Saya bukanlah orang yang ‘terer’ menghuraikan perihal sejarah, namun, kita boleh melihatnya secara ringkas bagaimana boleh wujudnya negara haram Israel ini. Pada tahun 1917, dalam Balfour Declaration, mengatakan bahawa Palestin merupakan negara rasmi bangsa Yahudi. Mengapa mereka mengisytiharkan perkara tersebut? Menurut sejarah, dapat dilihat bahawa masyarakat dan kerajaan Eropah tidak senang dengan keberadaan Yahudi yang berada di negara mereka. Mereka telah memikirkan tempat yang sesuai untuk diletakkan Yahudi laknatullah ini dan tempat yang paling sesuai adalah di negara Palestin lantaran mereka mahukan negara bagi memecahbelahkan ummat Islam dan mengambil kesempatan terhadap kelemahan kerajaan Islam yang ketika itu dijajah oleh kuasa besar British. Selepas kejatuhan Khilafah Islamiyyah, negera-negara Arab dan negara ummat Islam telah dibahagi-bahagikan kepada negara-negara penjajah seperti kek yang dimakan rakus oleh kuasa penjajah. Palestin telah dijajah oleh British sepertimana Malaya ketika itu. Yahudi telah banyak menimbulkan masalah kepada negara Eropah dan mereka akhirnya secara rasmi, mengiktiraf Israel sebagai kerajaan dalam PBB dan itu berlaku pada 14 Mei 1948, setelah Israel melobi di PBB dan hari itu disebut sebagai Yaumun Nuqbah, hari malapetaka ummat Islam dan ia disambut setiap tahun oleh mereka yang mengetahui dan merasai.

Sebelum peristiwa Mei 1948, hanya 20% tanah yang diduduki oleh Yahudi, namun setelah persitiwa tersebut, sebanyak 78% tanah Palestin telah diduduki oleh Yahudi. Pada tahun 1936-1939, Syeikh Izzuddin Al-Qassam dan pencinta syahid telah melaksanakan penentangan nyata walaupun negara-negara Arab sekitarnya telah lumpuh. Penentangan mereka telah menyebabkan Israel hampir mengisytiharkan dharurat. Pada 1948, Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin telah membina seramai 12,000 orang ikhwanul muslimin dan membantu tentera dan rakyat Palestin di sana. Walaupun Masyarakat Israel menafikan mereka terkesan dengan intifadah yang dilakukan oleh Hamas dan masyarakat Palestin, namun hakikatnya, jutaan ringgit mereka kerugian lantaran intifadah yang dilancarkan. Setiap kali roket Hamas yang ’kurang canggih’ dilancarkan, setiap kali itu mereka berada dalam ketakutan dan bersembunyi di bawah tanah dan takut ke tempat kerja. Penganalisis sejarah mengatakan, sekiranya para ulama’ seperti Dr yusuf Al-qardhawi mengatakan dan melancarkan intifadah yang ketiga, bukan sahaja rakyat Palestin bangkit, namun rakyat di negara-negara Arab seperti Mesir dan Jordan juga akan bangkit menentang Israel dan kerajaan mereka yang penakut dan tali barut Israel!

Pengajaran ’Aamun Nuqbah

1. Kepimpinan dunia Islam, khususnya dunia Arab telah dikuasai oleh zionis. Di Mesir, jelas menunjukkan Hosni Mubarak menghalang bantuan yang ingin disalurkan kepada rakyat Ghaza, malah membunuh mereka yang ingin mendapatkan bantuan dari dalam terowong. Ia bukan hanya menutup terowong yang disalurkan makanan di dalamnya menerusi terowong ke Ghaza, malah melepaskan gas asid yang membunuh pejuang-pejuang yang berada dalam terowong. Rakyat Mesir bukan sahaja marah kepada Israel, namun sangat marah kepada pemimpin mereka. Sudahlah demokrasi dicabuli, setiap kali pilihanraya di Mesir bakal dilaksanakan, mereka memenjara dan menangkap bakal calon pembangkang yang terdiri dari Ikhwanu Muslimin. Hanya 17% masyarakat Mesir yang turun mengundi. Demokrasi apakah itu? Begitu juga Raja Jordan, pemerintahan monarki mereka. Sekiranya di Myanmar, Amerika beriya-iya menunjukkan bahawa merekalah jaguh dalam mempertahankan demokrasi dan melawan junta Myanmar, namun, di Jordan, mereka membiarkan Raja Jordan memerintah secara monarki kerana mereka tahu, dengan berkuasanya Raja Jordan, ia adalah boneka Yahudi dan mengikut kata Israel. Begitu juga dengan PM Palestin, Mahmoud Abbas, pimpinan Fatah, mereka dengan senang memperkotak- katikkan rakyat Palestin khususnya di Ghaza. Semasa Pilihanraya terbersih 2006 menurut ketua pengawas pilihanraya ketika itu, Jimmy Carter, Hamas terus dinafikan hak memerintah Palestin walaupun menang lebih 2/3 kerusi. Rakyat Palestin tahu siapa yang bersama-sama mereka berlapar dan terbunuh kerana mempertahankan negara mereka, iaitulah pemimpin-pemimpin HAMAS. Mereka tahu, pemimpin Fatah yang apabila diberikan kepada mereka 10ringgit, mereka mengambil 9 tetapi hanya 1ringgit yang diberikan kepada rakyat Paelstin. Rakyat Palestin tahu pemimpin Fatah mempunyai rumah mewah di Jordan, setelah habis waktu pejabat, menaiki helikopter pulang ke rumah mewah mereka. Mana mereka tidak marah dengan pemimpin seperti itu?

2. Pengajaran kedua menunjukkan bahawa hanya Islam yang memberi kekuatan kepada umat Islam. Pada 1967, Perang Ramadhan ketika itu telah berjaya mengalahkan Israel ketika itu dan Intifadah kedua telah berjaya menyebabkan kerugian berjuta-juta USD Israel setiap hari! Lihat sahajalah mereka yang syahid mempertahankan maruah Islam dengan mengorbankan diri mereka untuk Islam. Jika kita di Malaysia, hari ini makan ayam, esok makan daging, lusa makan kambing, tetapi di Ghaza dan Palestin, mereka bukan sahaja tidak cukup makan, malah mereka yang sakit pun hanya menahan sakit kerana tiada ubat yang dapat diberikan. Wanita yang bersalin, kematian bayi-bayi mereka lantaran komplikasi dan ketiadaan ubat. Namun, mereka tidak pernah mahu lari dari negara tanah tumpah mereka. Mengapa? Kerana setiap hari mereka mengangkat tubuh sahabat mereka yang syahid, mereka terbau harumnya syurga, setiap kali mereka mengangkat tubuh sahabat mereka, mereka melihat syurga! Mana muingkin mereka tidak mahu berjuang mempertahankan tanah tumpah darah mereka dan maruah Islam!

Tanggungjawab kita terhadap Palestin

1. Doa dalam munajat-munajat kita. Pernah kita mendengar kata-kata Mahmud Siyam, Imam Masjidil Aqsa semasa datang ke Malaysia dahulu mengatakan dalam maksud begini : ”Kami di sana mempertahankan Al-Aqsa dengan jiwa-jiwa kami, kami harapkan doa kalian. Kalaulah kalian tidak mengingati kami dalam doa-doa kalian, kami akan serahkan kalian kepada Allah!” Sungguh, kita merasa sangat pedih di sini, sahabat-sahabat kita bertarung nyawa di sana. Setiap waktu solat, angkatlah tangan berqunut nazilah, dan bermunajatlah memohon doa. Sekiranya kita tidak dapat bersama-sama mereka di sana, harapannya, dapat bersama mereka di Jannah Firdausi, sekiranya kita tidak dapat bersama mereka, harapnya, anak zuriat kita dapat bersama-sama membantu agama Allah di sana.

2. Sumbangan kita kepada rakyat Palestin. Bagi yang bergaji tetap, peruntukkanlah sebanyak 2% darinya setiap bulan bagi memberi sumbangan kepada mereka. Boleh membuat potongan terus ke bank-bank yang menyalurkan terus ke tabung Ghaza dan Palestin seperti Yayasan Amal, Muslim Care dan Aman Palestin walaupun hanya RM10 sebulan. Lebih efektif berbuat potongan begitu lantaran keterlupaan kita.

3. Sebarkanlah maklumat dan pelbagaikan vehicle kita untuk menyebarkan maklumat. Maklumat ini bagaikan pedang. Seperti di UK, mereka telah mendapat berita terus dari dalam Ghaza sehingga mereka berdemonstrasi di hadapan BBC dan CNN kerana menyiarkan berita palsu dan propaganda jahat. Mereka telah mewujudkan siaran mereka sendiri. Mereka begitu cepat mendapat maklumat, sehingga kita lihat, mereka yang berwajah putih, berambut perang dan bermata biru inilah yang menyuarakan bantahan secara terang dan sanggup menaja misi-misi kemanusiaan malah mereka ramai yang menyertainya hatta dari ahli parlimen mereka sendiri. Sebarkanlah maklumat melalui blog, facebook, twitter dan lain-lain wasilah bagi menyebarkan tentang isu Palestin ini. Janganlah, sehingga terkena sekarang, baru kita tahu bahawa ada misi Lifeline 4 Ghaza untuk menghantar bekalan makanan. Ingin mengharapkan TV dan radio menyiarkan sepenuhnya dan membangkitkan isu ini? Tentunya kita lebih banyak melihat tayangan hiburan melebihi segalanya.

Saya hanyalah menterjemahkan dalam bentuk tulisan kebanyakan kuliah dan ceramah abang tentang Yaumun Nuqbah ini dalam blog saya, mudah-mudahan, kita mendapat maklumat yang benar dan nyata tentang apa yang berlaku. Sebarang kesilapan dalam tulisan mohon dimaafi dan diharap dapat disebarkan buat pengetahuan semua. Moga Allah menerima amal kita yang sedikit supaya dapat bersama mereka yang syahid di medan di Jannah kelak.... Amiin....

Kredit: www.xtahap.org

1 comment:

meknol said...
This comment has been removed by the author.

Followers